Pengenalan

Momentum teknologi digital tidak dapat dihalang. Justeru, Jabatan Pertanian telah melaksanakan Transformasi Digital bagi merealisasikan Inisiatif Kerajaan Digital Ke Arah Negara Pintar dengan mengambilkira perundangan dan peraturan. Ini bagi memastikan bahawa teknologi dan kandungan yang dibangunkan adalah inklusif dan tidak mewujudkan jurang yang baru di kalangan masyarakat, serta adalah bersesuaian dengan sejarah, tradisi dan budaya kita. Teknologi digital adalah wahana bagi merealisasikan matlamat manusiawi seiring dengan kemajuan dan peredaran zaman.

Di bawah National Development Planning Committee (EPU) yang melibatkan penubuhan Jawatankuasa Khas Land Capability Classification Sub-Committee (LCCSC); Jabatan Pertanian bertanggungjawab untuk menyediakan garis panduan pemetaan guna tanah dengan kerjasama wakil dari Jabatan Teknikal dan Universiti Malaya pada tahun 1962. Peta Guna Tanah yang pertama telah berjaya dikeluarkan pada tahun 1966. Selain itu, Jabatan Pertanian juga bertanggungjawab untuk menyediakan program Inventori Sumber Asli untuk digunakan dalam Rancangan Malaysia Ke-2 (1971-1975). Pelbagai program dan aktiviti berkaitan penggunaan Geospatial telah dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk memperkukuhkan pengurusan data gunatanah negara.

Aktiviti pengumpulan data gunatanah sentiasa giat dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian sebagai usaha melengkapkan pangkalan data. Di bawah RMKe-11, Jabatan Pertanian telah diluluskan peruntukan bagi melaksanakan projek Pembangunan Pangkalan Data Inventori Tanaman Makanan Negara Sehingga Lot Kadaster bagi memperkasakan lagi Pangkalan Data Jabatan Pertanian. Salah satu outcome di bawah projek Pembangunan Pangkalan Data Inventori Tanaman Makanan Negara Sehingga Lot Kadaster adalah Sistem Geotanaman. Sistem GeoTanaman merupakan Inovasi Digital Jabatan Pertanian dalam transformasi perkhidmatan dan pengurusan maklumat Inventori Tanaman Makanan Negara.

 

APA ITU GeoTanaman?

Sistem GeoTanaman atau Sistem Geoinformasi Tanaman Makanan Negara adalah sistem yang dibangunkan menggunakan konsep service oriented architecture yang boleh diakses melalui web dan mobile untuk mendapatkan maklumat, mengurus, menganalisis dan memaparkan maklumat geospatial tanaman makanan negara.

GeoTanaman dibangunkan untuk menyimpan, mengurus, mengemaskini, menganalisis dan membekalkan maklumat dan data gunatanah Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sistem ini dibangunkan untuk memudahcara pengurusan maklumat gunatanah pertanian melalui aktiviti penyeragaman, pengemaskinian, perkongsian dan capaian maklumat dan data gunatanah secara atas talian. Ianya mewujudkan pangkalan data bersepadu yang teratur, seamless dan yang sentiasa dikemaskini untuk memudahkan perkongsian antara agensi melalui capaian secara atas talian.

GeoTanaman dibangunkan berasaskan ciri-ciri pembangunan aplikasi yang interaktif, responsif dan mesra pengguna. GeoTanaman membolehkan pengguna untuk membuat carian secara interaktif dan melakukan analisis mudah spatial. Di samping itu, GeoTanaman turut menyediakan pelbagai fungsi lain seperti paparan maklumat statistik, peta, carta atau grafik. Ia juga mempunyai pautan kepada aplikasi yang berkaitan dengan geospatial.

Fokus utama GeoTanaman adalah untuk memperkasakan lagi ekonomi usahawantani khususnya dan rakyat amnya dalam mendapatkan bekalan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan. Melalui Sistem GeoTanaman, Jabatan Pertanian dapat merangsang ekonomi usahawantani dalam meningkatkan pasaran tanaman makanan negara ke pasaran luar negara melalui analisis pengeluaran secara spesifik di lokasi ladang, perancangan penanaman dan pengeluaran berdasarkan permintaan kebangsaan dan tempatan. Padanan pasaran atau e-dagang secara terus di antara usahawan tani dengan pengeksport juga boleh dicapai secara online melalui Sistem Geotanaman ini.

Selain itu, Sistem GeoTanaman merupakan aplikasi yang komprehensif dengan mengintegrasikan teknologi sumber terbuka yang melibatkan maklumat geospatial dan bukan spatial di dalam satu persekitaran ICT yang boleh menjimatkan kos serta sumber pembangunannya, mesra pengguna, interaktif dan mudah difahami. Sehubungan itu, sistem GeoTanaman memudahcara pengurusan maklumat gunatanah pertanian melalui aktiviti penyeragaman, pengemaskinian, perkongsian dan capaian maklumat dan data gunatanah secara atas talian antara agensi. Manakala pelanggan data spatial Jabatan Pertanian boleh membuat perolehan data secara atas talian, di mana sistem ini telah mendapat kelulusan dari Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan Jabatan Akauntan Negara dalam melibatkan pembayaran secara atas talian.

OBJEKTIF Sistem GeoTanaman

  1. Menyokong data Balance of Trade (BOT) Tanaman Makanan dalam mengatasi lambakan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan dan kemasukan sayur-sayuran dan buah-buahan import.
  2. Membangunkan pangkalan data Geospatial Inventori Tanaman Negara
  3. Memetakan tanaman sehingga Lot Kadaster
  4. Mewujudkan pangkalan data bersepadu yang teratur, seamless dan yang sentiasa dikemaskini.